Monday, March 16, 2015

BALASUNGKAWA

; Tanggal 21 Februari 2015 menjadi detik pilu. Berita pemergian ayahanda tercinta Haji Mustaffa Shafie ke pangkuan Allah menyentak hati dan merobek seluruh jiwa. Namun janji ALlah kepada hambaNya, takdir yang menjadi rahsia ALlah jua. Hanya redho yang mampu diangkat. Berita itu diterima semasa aku sedang bertugas di Bangaluru, India. Hanya airmata serta iringan tahlil serta zikir dimunajatkan mengiringi allahyarham ayahanda ke alam barzakh. Haji Mustaffa Shafie dilahirkan pada 31 Disember 1938. Berbapakan SHafie Lebai Man dan beribukan Yah. Menjadi yatim ketika berusia 4 tahun dan dibesarkan oleh Tok Mah di Padang Bata. Susur galur keturunan yang bersangkut paut dengan orang Binjal. Abang arwah adalah Mahmud Shafie. Arwah bapak menikahi mak Hajjah Pora Ismail pada 16 Mac 1958 dan mendapat 7 cahaya mata, Hamidah, Zainol Abidin, Dzulkafli, Roslan, Roslina, Azmi(meninggal semasa kecil) dan Maria. Pada 20 Februari 2015 jam 3 petang bapak keluar rumah dengan menunggang morsikal. Pada jam 4 petang, gerakan mencari dilancarkan setelah bapak tidak pulang ke rumah. Usaha mencari sehingga awal pagi tidak mendatangkan hasil sehinggalah maklumat polis tiba menyatakan terjumpa mayat arwah di Puncak Janing. Begitu jauh arwah tersesat dan mengakhiri hayatnya. Jika itu takdir Allah, sememangnya seluruh keluarga redho. Pada awalnya bapak diserang stroke kali ke2 pada 23 Januari 2015. Bapak dibawa ke Kuala Lumpur pada 26 Januari dan menjalani fisioterapi di Taman Melawati. Keadaan bapak bertambah kuat tetapi arwah menunjukan bebarapa keganjilan dan kadang kala menjadi pelupa. Sepanjang berada di Bukit Antarabangsa, arwah seringkali mengadu sakit kepala dan dahi. disamping itu arwah bangun seawal jam 1 pagi untuk bercukur, jam 3 pagi untuk mandi dan tabiat makan seperti tidak pernah kenyang. Seringkali diwaktu malam. semasa berbicara dengan Mak, kami berdua menyatakan bahawa tanda2 kematian telah ditunjukan oleh arwah. Mak sentiasa redho jika itulah janji Allah. Sepanjang di Kl, arwah sentiasa berpakaian segak dan antara gurauannya dengan mak apabila ditanya adalah, " orang dok segak dah" dan "memang dok segak lama dah". Sesekali arwah hanya merenung tanpa sebarang butir percakapan. Setelah 7 kali menerima rawatan fisio, arwah balik ke kampong dan akan menyambung kembali fisio selepas cuti tahun baru cina. Namun arwah dijemput Allah terlebih dahulu. Pemergian arwah Pak begitu menyayat hati dan meruntun nurani. Masih terpercik segar kemesraan Pak di rumah. Masih belum puas berbakti kepada pak dipenghujung usianya. Masih terasa tutur bicara pak, bahawa Allah yang menjadikan semua yang berlaku. Dia hanya hambaNya yang diuji. Pak dilayan secukupnya dirumah, jika pak bangun 5 atau 6 kali emalam, aku dan mak turut bangun. Dipakaikan phampers, diikat kain pelikat, dipakaikan baju dan tabiat pak yang tak pernah tinggal adalah menyikat rambut. Begitu berdisiplin dan kadang-kadang pak menunjukan kegoannya. Walau aku anak lelaki tetapi pak tetap memaksa untuk memakai phampers sendiri. Jenuh bagitau pak bahawa tiada apa yang nak dimalukan tetapi pak tetap berkeras. Paling aku teruja, pak tetap menunaikan solat walau sesusah mana sekali pun. Begitu tebal penghayatan hamba kepada pemiliknya. Sesekali aku menolong pak mengambil wuduk dan mak seringkali memberitahu pak untuk solat tahajud. Pada jam 6 petang, 21 Feb pak disemadikan di perkuburan Kg Bata. Bersemadi dengan aman disisi penciptanya. Aku ziarahi pak diperkuburan dengan air mata. Setiap hari kubur dikunjungi dan aku turut berbicara dengan Pak. Betapa keakraban dunia tidak pernah cukup. Pemergian pak ke alam baqa walau telah diberikan petunjuk tertentu tetapi peluang terakhir untuk bersamanya tidak kesampaian. Yang pasti ada hikmahnya dan Pak meninggalkan legasi yang cukup untuk dikenang dan diperturunkan ceritanya kepada cucu cicit yang ditinggalkan. Bersemadilah Pak disisi syuhada dan solohin dijannah Allah. Janji Allah itu tetap berlaku.....Nanti kesempatan waktu akan disambung.....